top of page

Berpengalaman dalam perkhidmatan awam tapi Ng Kok Song yakin berfikiran bebas


 DEKATI MASYARAKAT: Encik Ng Kok Song (tengah) bergambar dengan pegerai dan pengunjung Pasar Geylang Serai semasa membuat lawatan ke sana pada Khamis. - Foto ST
DEKATI MASYARAKAT: Encik Ng Kok Song (tengah) bergambar dengan pegerai dan pengunjung Pasar Geylang Serai semasa membuat lawatan ke sana pada Khamis. - Foto ST

Pengalaman Encik Ng Kok Song berkhidmat di dana kekayaan negara memberikan beliau pengetahuan mendalam tentang kerja-kerja dalam sektor awam dan sektor swasta.


Hal ini memberinya kelebihan unik berbanding tokoh lain yang telah menampilkan diri untuk bertanding di Pilihan Raya Presiden nanti, kata pemerhati politik.


Malah pengalaman Encik Ng bekerjasama dengan ahli politik dan pemerintah, walaupun dirinya bukan ahli politik daripada mana-mana pihak juga memberinya kelebihan, tambah mereka.


Penolong Profesor Elvin Ong di jabatan Sains Politik Universiti Nasional Singapura (NUS) berkata mesej yang diketengahkan oleh Encik Ng, yang mengetengahkan dirinya sebagai calon yang bebas pengaruh parti politik boleh dipercayai.


“Kekuatan utama Encik Ng ialah beliau pernah bekerja rapat dengan ahli politik dan birokrasi pemerintah, tetapi tidak pernah menjadi ahli politik,” kata Prof Ong, mengenai mantan ketua pelaburan GIC itu.

Encik Ng menyertai GIC, perbadanan pelaburan pemerintah pada 1986 dan mengetuai jabatan ekuiti dan bon.


Beliau kemudian menyandang beberapa jawatan lain dalam GIC termasuk pengarah urusan pasaran awam sebelum dilantik ketua pegawai pelaburan kumpulan pada 2007 – jawatan yang dipegangnya sehingga beliau bersara pada 2013.


Awal sebelum itu, Encik Ng memulakan kerjaya sektor awamnya pada 1970 sebagai penganalisis pelaburan di jabatan pelaburan luar negara Kementerian Kewangan sebelum berkhidmat di Penguasa Kewangan Singapura, menguruskan rizab negara.


Mengulas tentang pengalaman Encik Ng itu, penganalisis politik dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Felix Tan, berkata:


“Kekuatannya terletak pada pengalamannya di GIC. Ini telah membolehkan beliau melangkaui antara sektor swasta dan awam.


“Oleh itu, beliau mempunyai pengetahuan yang mencukupi tentang kerja-kerja dalam bidang pemerintah dan swasta.”


Encik Ng sedar akan kekuatan beliau dari sudut ini – dan sering menekankannya.


Dalam pertemuannya dengan media setelah mengunjungi Pasar Geylang Serai Khamis lalu, Encik Ng berkata beliau akan menjadi Presiden yang berfikiran bebas dan pengalamannya dalam perkhidmatan awam memberinya kelebihan jika dipilih menggalas jawatan tersebut.


Tidak seperti pesaingnya, Encik Tharman Shanmugaratnam yang merupakan ahli politik selama lebih dua dekad, Encik Ng tidak pernah menganggotai mana-mana parti politik.


Ciri itulah yang diingini warga Singapura dalam Presiden mereka, menurut beliau.


Katanya: “Saya rasa warga Singapura mahu melihat keseimbangan ini dalam era baru, di mana presiden tidak terbabit dalam politik, di mana presiden tidak mempunyai kaitan politik.”

Encik Ng merupakan individu ketiga yang telah melahirkan hasrat bertanding bagi pejabat tertinggi negara itu.


Lagi dua individu – mantan Menteri Kanan, Encik Tharman, dan usahawan Encik George Goh – telah melakukan hal serupa.


Dalam pada itu, tumpuan sebahagian warganet berhubung langkah Encik Ng menampilkan diri untuk bertanding berberat kepada hidup peribadi beliau dan bukan pengalaman atau prestasi beliau dalam jawatan kepimpinan kanan.


Sejak Encik Ng mengumumkan keinginannya bertanding, pelbagai komen telah dilontarkan orang awam dan warganet berhubung tunangnya, Cik Sybil Lau, yang berusia 45 tahun.

Jarak usia 30 tahun antara Encik Ng, 75 tahun, dan Cik Lau telah menjadi sasaran kata-kata sinis segolongan masyarakat.


Perbuatan itu telah mendorong pasukan media Encik Ng sendiri untuk cuba meleraikan spekulasi.


Encik Ng seorang duda selepas isterinya Patricia meninggal dunia pada 2005 akibat barah.

Pasangan itu dikurnia tiga cahaya mata yang kini berusia antara 33 dengan 50 tahun.


Beliau dikenalkan dengan Cik Lau sekitar empat tahun lalu dan pasangan tersebut sudah merancang bernikah, namun ibu Cik Lau meninggal dunia pada 2021.


Demi menghormati adat resam orang Cina, mereka memilih menangguhkan perkahwinan mereka selama tiga tahun.


Namun, penjelasan perkara tersebut mungkin masih tidak mencukupi untuk menghentikan kata-kata sinis atau memenangi sokongan segelintir warganet, mengikut pemeriksaan Berita Harian (BH) di dalam talian.


Memberi pandangannya mengenai perkara ini, Dr Tan berkata dalam menilai calon, akan ada segolongan pengundi yang bakal mengambil kira faktor-faktor seperti usia, bangsa dan pilihan pasangan calon tersebut.


“Ini mungkin faktor penentu penting jika semuanya serupa dari segi apa yang boleh mereka sumbang.


“Malangnya, saya tidak fikir masyarakat kita secara amnya cukup matang dari segi politik untuk tidak mengambil kira bangsa, usia mahupun keluarga dan pasangan calon,” kata Dr Tan.


Namun, diplomat veteran dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Persatuan India Singapura, Encik K. Kesavapany, berpendapat sebaliknya.


Beliau berkata beliau tidak merasakan usia dan pasangan seseorang calon Presiden merupakan faktor penting yang akan diambil kira pengundi Singapura.


“Pada akhirnya, apakah yang anda perjuangkan? Apakah dasar-dasar yang anda sokong? Itulah yang paling penting,” ujar beliau.


Bagi Encik Kesavapany, sesiapa yang bakal menyandang jawatan Presiden mestilah merupakan seseorang yang dapat menunjukkan empati terhadap golongan kurang bernasib baik dalam masyarakat.


Individu tersebut juga mestilah dapat meningkatkan kedudukan golongan itu, tambahnya.




bottom of page